ASSALAMMUA'LAIKUM. SELAMAT DATANG KE BLOG NISA' MIRI. SEBARANG CADANGAN ATAU KRITIKAN BOLEH DI CATATKAN DI DALAM RUANGAN SEMBANG @ MELALUI EMAIL KAMI.. nisamiri@gmail.com.

Ramadhan

31 Julai 2010

"Ya Allah..sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan....."
Moga-moga kita dapat melalui bulan Ramadhan, bulan rahmat dan berkat, yang bakal menjelma beberapa hari lagi...di sini, mari kita menambahkan lagi ilmu berkaitan dengan Ramadhan melalui artikel yang dipaparkan di bawah. Artikel ini diperolehi dari webnisa.net.
" Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. " (Al-Baqarah 183)

Mukmin yang taat kepada perintah Allah pastinya gembira menantikan kehadiran Ramadhan, bulan penuh berkat dan rahmat. Mereka yang dipanjangkan usia sehingga bertemu Ramadhan kali ini sewajarnya bersyukur. Ianya adalah tanda Allah masih memberi peluang untuk mereka memperbaiki diri dan menambah bekalan berupa amal soleh buat persiapan menuju alam baqa' (alam akhirat yang kekal abadi). Kesempatan yang sangat bernilai ini sewajarnya direbut sekaligus berazam untuk melaksanakan ibadah puasa dengan sebaik-baiknya.

Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan dosanya yang telah lalu." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, dan Ahmad)

Alangkah ruginya jika kita tidak memanfaatkan kedatangan Ramadhan yang sekejap itu dengan amal kebajikan. Ini kerana Allah memberi banyak keistimewaan berupa ganjaran pahala berganda bagi setiap amalan baik yang dikerjakan yang tidak diberikan dalam bulan-bulan lain. Dalam hal ini Rasulullah bersabda. "Sekiranya manusia mengetahui kebajikan yang terkandung dalam Ramadhan itu, tentulah mereka mengharap-harap supaya Ramadhan berlaku sepanjang tahun." (Hadis riwayat Ibnu Abid Dunya)

Dua amalan utama yang dituntut adalah puasa dan solat sunat Tarawih. Berpuasa adalah kewajipan sementara solat sunat Tarawih adalah pelengkap kepada ibadah puasa. Kedua-dua amalan ini merupakan amalan istimewa yang dituntut sepanjang Ramadhan. Justeru, apabila dilakukan dengan penuh keikhlasan akan mendapat ganjaran pahala berlipat ganda. Selain itu, kita juga diwajibkan untuk membayar zakat fitrah. Ia boleh dilakukan sepanjang Ramadhan sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri.

Menurut Aisyah R.A katanya: "Rasulullah S.A.W memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang kesepuluh terakhir daripada bulan Ramadhan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadah (sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya) Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya".

Berdasarkan hadis di atas, dapat difahami bahawa banyak lagi perbuatan yang dikira sebagai ibadah yang menjadi pelengkap kepada ibadah puasa. Semua perkara yang dilakukan sehari-hari juga merupakan amal ibadah selagi ianya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Antara amalan yang dituntut sepanjang Ramadhan ialah:


1. Membaca al-Quran. Amalan ini selain dijanjikan pahala berlipat kali ganda, sekiranya dilakukan secara bertadarus beramai-ramai pula mampu memperkukuhkan ikatan silaturrahim.
2. Sentiasa membasahi bibir dengan zikir dan selawat. Amalan ini dapat mengelakkan kita daripada bercakap perkara yang sia-sia.
3. Tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang. Contohnya mendedahkan aurat.
4. Bersedekah. Terutamanya kepada fakir miskin yang memerlukan bantuan.
5. Tidak boros berbelanja. Berbelanjalah mengikut keperluan dan kemampuan.
6. Jaga lidah (percakapan) dan penglihatan. Elakkan mengumpat, menyakiti hati orang lain, dan hindarkan diri daripada melihat perbuatan mungkar (dosa).
7. Mempelajari ilmu, dan mengajarkannya pula pada orang lain.
8. Melakukan pekerjaan dengan ikhlas dan amanah
9. Membayar zakat fitrah.
10. Banyakkan bertaubat pada Allah, agar diampunkan dosa-dosa yang telah lalu.
sumber :http://www.webnisa.net/v2/index.php

0 comments:

Catat Ulasan