ASSALAMMUA'LAIKUM. SELAMAT DATANG KE BLOG NISA' MIRI. SEBARANG CADANGAN ATAU KRITIKAN BOLEH DI CATATKAN DI DALAM RUANGAN SEMBANG @ MELALUI EMAIL KAMI.. nisamiri@gmail.com.

Bersabarlah Menghadapi Ujian Allah

02 Februari 2010



“Akak memang risau bila tahu pusat pemindahan hendak ditutup semalam. Mana nak duduk, rumah belum kemas, akak pula masih tak larat selepas melahirkan anak.”

“Kami sekeluarga terpaksa mengurangkan pembelian sayur dan ikan kerana harga di pasar amat keterlaluan”.

“Kira-kira 60 kematian dilaporkan setakat ini di daerah Aceh Tamiang dan kami juga menghadapi kesukaran memindahkan mayat mangsa”.

“sebuah kampung musnah di landa arus deras dan tiada penduduk yang dijumpai”.

Begitulah rintihan dan aduan yang kita dengar dari saudara mara kita yang telah menghadapi ujian banjir pada Disember - Januari yang lepas, samada yang berada di selatan Malaysia, Aceh mahupun Jakarta. Kita hendaklah menyedari dengan penuh keinsafan bahawasanya apa yang berlaku ini, semuanya adalah satu ujian besar bagi umat islam, seperti yang terkandung dalam ayat al-quran. Allah telah memberitahu dengan firmannya dalam surah Al-Baqarah: 155-156 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan dengan merasai kelaparan , dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Semua ini seharusnya menimbulkan rasa keinsafan yang mendalam di dalam hati kita. Apa yang menimpa kita adalah satu ujian dari Allah S.W.T kepada hambanya yang dia kasihi lagi di sayangi dan Allah juga menjanjikan berita gembira, pahala, rahmat, jalan keluar kepada hambanya yang bersabar dalam menghadapi ujian ini (banjir, kehilangan nyawa dan harta benda).Inilah ujian yang telah, sedang dan akan dihadapi oleh orang-orang yang mengakui dirinya beriman kepada Allah S.W.T.Firman Allah di dalam Surah Al-Ankabut: 2 yang bermaksud: “ Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata; kami beriman, sedang mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan”. Allah menegaskan bahawa orang islam tidak cukup dengan hanya beriman dan mengaku menjadi islam sahaja, tetapi hendaklah mereka bersabar dan tabah hati menerima ujian yang berupa kesusahan, kemalangan, kehilangan, kemusnahan yang menimpa diri dan harta benda kita .

Setelah apa yang telah menimpa kita dari musibah banjir ini, kita dapat lihat bagaimana ukhwah dan semangat persaudaraan umat islam di seluruh Malaysia yang datang menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada saudara mara kita yang menghadapi kesusahan dan amat memerlukan bantuan pada ketika ini. Ini juga merupakan ujian, mehnah dan tarbiyah kepada kita semua samada yang menghadapi musibah banjir ataupun yang tidak menghadapinya. Justeru, sebagai orang islam dan orang yang beriman kepada Allah, semestinya kita redha dengan apa yang berlaku keatas kita. Ini merupakan satu ingatan Allah dan kita juga merasai bahawasanya Allah masih sayang kepada kita kerana dia memberikan peluang kepada hamba-hambanya untuk insaf dan kembali berpegang teguh dengan agama islam yang sebenar.

“Hanya gerhana, bukan terbenamnya matahari”. Satu-satunya ungkapan yang memberikan harapan besar kepada kita untuk kembali berusaha meningkatkan hubungan kita dengan Allah S.W.T. Musibah atau bencana pada hari ini bukanlah menjadikan kita rasa putus asa untuk meneruskan kehidupan, sebaliknya ia memberikan satu suntikan atau dorongan kepada kita untuk kembali meningkatkan iman dan taqwa dengan melaksanakan ubudiyah kita kepada Allah S.W.T. Kita hendaklah melipatgandakan usaha kita dalam mengajak orang lain untuk kembali bersama-sama beriman dan berubudiyah kepada Allah yang Maha Esa. Kita hendaklah menyedari bahawasanya hidup didunia ini bukanlah untuk selama-lamanya, satu hari nanti kita akan dipanggil oleh Allah untuk bertemuNya, dan kesempatan hidup didunia ini, marilah sama-sama kita mencari bekalan taqwa untuk kita persembahkan padaNya satu hari nanti .

Jadikanlah ujian, musibah dan bencana yang dihadapi hari ini sebagai titik-tolak atau langkah permulaan bagi kita meneruskan kehidupan dengan penuh ketaqwaan dan keimanan kita kepada Allah S.W.T. Dialah tuhan yang menjadikan kita, Dialah yang mengatur keseluruhan system alam semesta, Dialah yang mengetahui setiap apa yang dilakukanNya. Justeru, sudah semestinya ada hikmah dan pengampunan disebalik apa yang telah berlaku. Di sisi Allah S.W.T dilipatgandakan nilainya bagi orang-orang yang bersabar.

Karangan Ustaz Mohd Adni (B.A Syariah Jordan)

0 comments:

Catat Ulasan